Throwback: Teori Kebangkitan Rakyat

Throwback and Republication Series – Part 1 | Article 1 | Bahasa Malaysia Article.

(Written by: Ikram Rasid on 27th March 2009)

KEBANGKITAN RAKYAT – TEORI PERTUMBUHAN POPULASI GOLONGAN PERTENGAHAN.

Assalamualaikum dan Salam Keamanan,

Pada tahun 1982, September – Tun Dr. Mahathir (kini negarawan ulung Malaysia: edited 18th July 2017), ketika itu sebagai Presiden parti melayu terbesar di dunia berucap di perhimpunannya menggesa agar rakyat Malaysia berusaha untuk meningkatkan jumlah rakyat daripad 18 juta orang kepada 70 juta dalam jangkamasa 120 tahun. Ianya bertujuan untuk meningkatkan produktiviti negara, dan menyediakan satu pasaran yang besar untuk ekonomi negara.

Dalam masa 25 tahun, jumlah rakyat Malaysia kini dianggarkan lebih kurang 25 juta orang. Jumlah ini merupakan satu peningkatan yang baik, kerana kadar kesihatan kanak-kanak di negara ini juga telah meningkat hasil daripada usaha yang murni oleh kerajaan dan sektor swasta. Perlu diingat, itu adalah tanggung jawab mereka. Rakyat telah membayar cukai untuk itu semua.

Atas dasar itu, kerajaan telah menjalankan usaha besar-besaran dengan memberikan susu, imunisasi dan servis kesihatan percuma kepada semua anak-anak luar bandar yang memerlukan pemerhatian serius. Dalam masa yang sama, bonus diberikan kepada ibu bapa yang berjaya memiliki anak yang ramai.

Rata-rata kisah ini tidak diambil peduli oleh pihak kerajaan kini sekarang. Golongan elit tetap kekal memiliki keluarga yang kecil (purata: 3.2 orang anak), dan golongan sederhana memiliki keluarga yang sederhana (purata: 5.4 orang anak), dan golongan miskin memiliki keluarga yang besar (purata: 8.9 orang anak). Ada juga ahli keluarga yang jumlah mereka melebihi 20 orang.

Pada tahun 1982, rakyat Malaysia yang kini berumur lingkungan 30an dan 40an masih lagi bersekolah rendah dan menengah. Mereka tidak tahu apa-apa, tidak mengambil peduli dalam banyak perkara. Ibu dan bapa mereka sedang mencongak masa depan hidup mereka, apakah mereka patut menjadi Jurutera? Doktor? Peguam? atau Ahli Politik? Namun, majoriti daripada rakyat ketika itu masih miskin dan sedang terkial-kial mencari rezeki yang halal. Umum tahu, keluarga miskin pastilah jumlah ahlinya juga besar, lalu kos tanggungan juga tinggi.

doktor
Gambar Hiasan – Kerjaya sebagai Doktor adalah contoh kerjaya yang paling diingini oleh ibu bapa kerana persepsi reward yang baik dari sudut material dan ilmu.


Pada ketika itu, umum juga mengetahui bahawa keluarga yang miskin juga berpusat di negeri-negeri melayu seperti Kelantan, Terengganu, Kedah, Perak, Pahang dan Johor. Ini juga tidak diambil kira mereka yang berasal dari Sabah dan Sarawak. Mereka yang berasal dari keluarga yang miskin pastilah memiliki semangat dan jati diri yang berbeza dengan mereka yang berasal daripada keluarga yang sudah kaya raya, ataupun sederhana. Rata-rata mereka yang berasal dari keluarga yang besar dan miskin, tidak begitu berkecimpung di dalam politik – tetapi, banyak menghabiskan masa mencari rezeki seperti di sawah, kebun getah, laut (nelayan) dan sebagainya.

Pada masa yang sama, mungkin berkat dari rezeki yang halal – maka majoriti daripada anak-anak golongan ini berjaya di dalam pendidikan. Mereka kini telah memenuhi senarai golongan profesional muda di sektor awam dan swasta. Mereka yang berasal dari keluarga petani, nelayan dan pekebun akhirnya muncul sebagai tenaga baru di dalam pasaran demokrasi global yang berpandukan kepada ideologi dunia tanpa sempadan.

Mereka adalah daripada golongan yang berasal daripada keluarga susah, adik beradik yang ramai, terpinggir daripada golongan elit yang menuntut di kolej swasta, sekolah inggeris missionary, atau sekolah berasrama penuh gred A. Walaupun mereka kini sudah menjadi dewasa dan terpelajar, tetapi mereka adalah daripada jenis golongan yang berbeza, tidak kira dari keturunan apa sekalipun, mereka dari kelas yang berbeza. Baik melayu, cina dan india – mereka kini telah melihat perspektif politik dan survival kehidupan mereka melalui dua dimensi yang berbeza. Ketika kecil, hidup di dalam kemiskinan dan mencari ilmu di dalam keadaan yang sukar. Kerajaan membantu mereka yang berjaya, dan ramai menuntut ilmu di dalam dan luar negara. Setelah dewasa, mereka pulang dan mendapati diri mereka masih lagi terpinggir, kerana ilmu di dada mereka tidak dapat ditukar ganti dengan status lama mereka, di mana miskin dipinggirkan – dan golongan elit diutamakan.

logo sekolah sbp malaysia
Jumlah sekolah-sekolah berasrama penuh semakin bertambah samada dari segi tradisi mahupun keperluan untuk sumber manusia di masa hadapan, namun kualiti ekonomi rakyat masih belum memuaskan terutama dari segi penciptaan dan pembuatan.


Tidak dapat dinafikan, golongan sederhana yang semakin membukit tinggi di Malaysia adalah hasil daripada usaha kerajaan yang mahu menghapuskan kemiskinan tegar. Walaupun masih belum berjaya sepenuhnya, anak-anak miskin dahulu kini berjaya di peringkat global ini masih sedar akan tanggungjawab mereka sebagai ahli keluarga. Mungkin ramai di kalangan mereka masih cintakan kampung halaman, dan sedar akan status baru mereka tidak mungkin akan dapat memisahkan perjuangan lama mereka yang sering ditidakkan oleh dunia elitisme.

Golongan muda dan dewasa ini adalah satu kuasa baru yang akan menggegar masa depan Malaysia ke arah yang lebih gemilang. Mungkin golongan elit sekarang muncul kerana penindasan golongan penjajah yang telah membangkit semangat mereka, dan akhirnya menjadi kuasa yang memerintah negara. Kemudian, mereka menjadi megah lalu lupa daratan dan mengukuhkan kuasa mereka melalui konsep nepotisme dan kronisme. Tetapi, mereka lupa bahawa golongan elit yang kecil jumlahnya tidak akan mampu melawan arus “tsunami” yang datang daripada golongan sederhana dan miskin, yang memiliki jumlah ahli keluarga yang ramai dan besar.

prev36
Anak-anak muda bekerja keras untuk mencapai impian mereka yang akhirnya lebur kerana kerakusan golongan elit yang semakin mengecil jumlah mereka.


Kisah satu keluarga (ibu bapa) yang berjaya menghasilkan 10 orang doktor perubatan daripada 12 orang adik beradik boleh dijadikan contoh, betapa keluarga yang miskin mampu menjadi satu kuasa penentu kepada masa depan sesuatu negara. Apabila sudah mampu menjadi doktor, mereka juga mampu berfikir dengan waras dan tajam, tanpa rasa segan dan takut kepada tekanan golongan elit. Golongan profesional (yang berasal dari golongan miskin) yang kini telah memenuhi ruang sokongan rakyat terhadap sesuatu ideologi, haruslah diambil kira oleh mana-mana parti politik di Malaysia secara serius.

Jika parti itu didapati gagal untuk menarik minat mereka yang bijak dan pintar-pintar belaka, maka parti itu bolehlah menggali lubang kubur mereka sendiri untuk selama-lamanya. Golongan penyokong senyap ini tidak pergi ke jalanan untuk memberontak, mahupun pergi ke mana-mana perhimpunan melayu untuk menghunuskan keris. Mereka hanya duduk senyap melakukan kerja profesional mereka, dan melihat dari jauh – kadang-kadang menulis di dalam blog ataupun forum internet, tetapi mereka lebih berkuasa daripada si elit yang kian sombong dengan harta kekayaan dan kedudukan masing-masing.

Mal-Population(1)
Contoh kadar pertumbuhan populasi rakyat di Malaysia yang bakal merubah masa depan negara supaya lebih telus, amanah dan gemilang.


Maka dengan ini saya mengesyorkan agar kesemua parti-parti politik yang wujud di bumi Malaysia ini segera menggunakan platform yang bijaksana dan berhemah, agar ianya akan dilihat sebagai suatu wadah perjuangan politik yang dewasa dan matang. Sesungguhnya, setiap kejadian yang Allah s.w.t. jadikan pada suatu ketika dahulu itu ada hikmahnya. Jika benar setiap anak-anak miskin suatu ketika dahulu pernah ditindas dan dianiaya, semata-mata kerana dokongan ideologi politik mereka berbeza dahulu. Kini, anak-anak mereka yang besar kemungkinan tergolong di dalam golongan yang sukar untuk dinilai mentaliti mereka, dan jumlah mereka juga berlipat ganda – pasti akan memberikan kesan yang mendalam terhadap sesuatu wadah perjuangan, terutama sekali mereka yang suka menzalimi orang lain.

Oleh itu, berhati-hatilah. Kuasa rakyat, kuasa keramat. Kuasa si miskin, kuasa si teraniaya, akan lebih mudah mendapat ihsan Rahmat Ilahi! Wallahuaklam.

Sekian wabillahitaufik walhidayah wassalam.

{Hasil Nukilan di Facebook Khairul Ikram, 27 Mac 2009}

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Powered by WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: